July 31, 2015

Pendaftaran Haji untuk ahli KWSP

BangunanTabungHaji, KualaLumpur
*kredit google
Ramai yang agak keberatan untuk buat. Sebabnya nilai RM1300, yang perlu ada dalam akaun Tabung Haji, bagi membolehkan seseorang itu mendaftar untuk menunaikan haji, agak tinggi bagi sesetengah orang. Kerana apabila wang RM1300 ini didepositkan, ia perlu sentiasa kekal di dalam akaun dan tidak boleh dikeluarkan sehinggalah tibanya giliran untuk menunaikan haji. Dan jikalau ingin mengeluarkannya juga, pendaftaran untuk menunaikan haji perlu dibatalkan dan perlu mendaftar semula. Dengan kata lain, akan diberi giliran baru, yang tentunya memakan masa yang lebih lama. Apabila niat untuk mendaftar haji sentiasa tertangguh, kesan besarnya adalah tahun yang diperuntukkan untuk giliran menunaikan haji semakin lama, sehingga mencecah seratus tahun.
Tapi, ada cara yang lebih mudah tanpa perlu mendepositkan wang RM1300. Anda tidak perlu mendepositkan sesen pun ke dalam akaun Tabung Haji. Caranya adalah menggunakan penyata KWSP. Dengan syarat akaun 1 KWSP anda perlu mempunyai simpanan minima sebanyak RM1300. Bawa penyata tersebut ke Tabung Haji dan anda akan didaftarkan terus untuk menunaikan haji. Tanpa perlu mendepositkan sesen pun. Menariknya, ramai yang tidak tahu kaedah ini.
P.s. Usah pedulikan tahun peruntukan giliran menunaikan haji, its just a number by the way. Bila dah tertulis anda akan tunaikannya, insyaAllah Dia akan buka jalan ke arahnya. Kecuali orang yang tidak melakukan apa-apa.
Because a journey of a thousand miles begins with a single step. Apa yang pentingnya satu langkah ni? Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan keluar dari rumah untuk menuju ke Tabung Haji. Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan masuk ke dalam Tabung Haji. Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan masuk ke dalam airport. Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan menunggu di dalam departure hall. Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan berjalan di dalam aerobridge untuk masuk ke dalam kapal terbang. Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan merasai panasnya berada di padang pasir tapi nyamannya angin saat turun dari kapal terbang di airport Jeddah. Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan berjalan kaki di celah-celah hotel yang tinggi-tinggi menuju ke Masjidil Haram. Kalau tidak kerana satu langkah ini, anda tidak akan masuk ke dalam Masjidil Haram melalui pintu 1 King Abdul Aziz. Kalau tidak kerana satu langkah ini, kaki anda tidak akan terhenti, kaku dan air mata tiba-tiba mengalir saat kali pertama anda melihat Kaabah. Kalau tidak kerana satu langkah ini, mana mungkin kaki anda melangkah menuruni beberapa anak tangga menuju ke dataran tawaf. Dan kalau tidak kerana satu langkah ini, tentunya anda tidak akan dapat mengelilingi Kaabah untuk melakukan ibadah tawaf bagi menyempurnakan rukun Haji yang menjadi ibadah yang anda lakukan ini sah dn diterima Allah. Betapa pentingnya satu langkah.
Pendaftaran Haji Ahli KWSP
Inisiatif Pendaftaran Haji Ahli KWSP merupakan satu kemudahan yang membolehkan seseorang ahli yang mempunyai simpanan KWSP membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) tanpa perlu mendepositkan simpanan sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji.
Kemudahan ini tidak melibatkan pengeluaran wang simpanan KWSP.
Syarat-syarat Kelayakan
Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut:
a. Warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap
b. Beragama Islam
c. Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300.00
d. Belum mencapai umur 55 tahun
e. Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji
Kemudahan pendaftaran haji ini hanya dibenarkan kepada individu atau ahli KWSP berkenaan sahaja.
Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberi sebelum ini dan wang pendaftaran haji RM1,300.00 sebelum ini dicairkan.
Kaedah Pelaksanaan
Ahli boleh mendaftar haji di bawah Pendaftaran Haji Ahli KWSP dengan hadir sendiri di mana-mana cawangan LTH, Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan Penyata Ahli KWSP. Proses pendaftaran haji adalah mengikut prosedur semasa LTH.
Nota: Penyata KWSP boleh diperolehi melalui i-Akaun, kios, kaunter atau penyata tahunan yang dihantar melalui mel.
SOALAN LAZIM PENDAFTARAN HAJI AHLI KWSP
1. Apa yang dimaksudkan dengan Pendaftaran Haji Ahli KWSP?
Ia adalah satu kemudahan yang membolehkan seseorang ahli KWSP yang mempunyai simpanan KWSP membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji tanpa perlu mendepositkan simpanan minima sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji.
2. Adakah melalui kemudahan ini ahli boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka?
Tidak. Ahli KWSP tidak boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka kerana kemudahan ini bukanlah satu jenis pengeluaran. Kemudahan ini hanya bertujuan untuk pendaftaran bagi mendapatkan giliran mengerjakan haji. Ia juga bukan bertujuan untuk membiayai ibadah haji itu sendiri. Memandangkan simpanan KWSP bagi maksud tersebut masih kekal di KWSP, maka simpanan ini akan menerima dividen KWSP seperti biasa.
3. Siapa yang layak menyertai kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP? Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut:
i. Warganegara Malaysia/Pemastautin Tetap
ii. Beragama Islam
iii. Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300.00
iv. Belum mencapai umur 55 tahun
v. Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji
4. Bagaimana untuk memohon Pendaftaran Haji Ahli KWSP?
Ahli KWSP perlu hadir di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji, Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan Penyata Ahli KWSP.
Nota: Ahli perlu membuka akaun simpanan di Tabung Haji (jika belum)
5. Di mana ahli boleh mendapatkan Penyata Ahli KWSP?
Ahli boleh mendapatkan Penyata Ahli KWSP daripada:
i. Mana-mana Pejabat KWSP yang berhampiran
ii. Kios KWSP
iii. Laman web myEPF – pengguna i-Akaun
iv. Penyata Tahunan Ahli KWSP yang dikirim melalui mel
6. Bolehkah ahli membuat pendaftaran haji di bawah kemudahan ini bagi pasangan (suami isteri) atau ibu bapa atau anak-anak ahli?
Tidak. Kemudahan ini hanya bagi pendaftaran individu ahli sahaja.
7. Bila kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP berkuatkuasa?
Kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP berkuatkuasa mulai 3 Januari 2012.
8. Bolehkah Pendaftaran Haji Ahli KWSP dibatalkan?
Boleh. Terpulang kepada ahli KWSP.
9. Bolehkah ahli yang berumur 55 tahun ke atas menggunakan kemudahan ini?
Tidak boleh, hanya ahli yang berumur di bawah 55 tahun layak menggunakan kemudahan ini.
10. Mengapa ahli yang berumur 55 tahun ke atas tidak layak menggunakan kemudahan ini?
Pada umur 55 tahun, ahli boleh mengeluarkan kesemua simpanan KWSP pada bila-bila masa. Oleh itu, mereka bolehlah membuat pendaftaran sendiri dengan Tabung Haji.
11. Adakah Pendaftaran Haji Ahli KWSP ini membolehkan ahli mengerjakan ibadah haji lebih cepat berbanding prosedur sebelum ini?
Tidak, pemergian haji ini masih tertakluk kepada sistem giliran mengerjakan haji.
12. Bolehkah ahli yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberi sebelum ini?
Boleh. Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP dan tahun peruntukan haji kekal seperti sedia ada. Manakala wang pendaftaran haji RM1,300.00 sebelum ini akan dicairkan. Buat masa ini, pertukaran ini hanya boleh dibuat di mana-mana cawangan Tabung Haji sahaja.
13. Adakah pendaftaran haji ini terjejas sekiranya ahli membuat pengeluaran kesemua simpanan KWSP seperti Pengeluaran Hilang Upaya atau Pengeluaran Pekerja Berpencen?
Pendaftaran haji tidak terjejas dan kekal seperti sedia ada.
14. Bolehkah ahli yang membuat Pengeluaran Hilang Upaya diberi keistimewaan untuk menunaikan haji lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dengan syarat mereka mempunyai simpanan yang mencukupi?
Tidak, pemergian haji ini masih tertakluk kepada sistem giliran mengerjakan haji.
15. Bolehkah ahli KWSP mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan membiayai kos keseluruhan menunaikan ibadah haji?
Tidak boleh. Simpanan KWSP adalah simpanan persaraan. Bagaimanapun, di bawah kemudahan ini, ahli boleh membuat pendaftaran bagi mendapatkan giliran mengerjakan haji.

2 comments:

  1. thanx sbb sharing...penting jugak ni..kurang2 bila dh letak deposit, kita akan lebih usaha untuk kumpul duit..

    ReplyDelete

sudi-sudikan... :)