...anakku Sazali...



E-TAZKIRAH
Have a pleasant reading;

"RASULULLAH BAPA MITHALI"

Rasulullah SAW adalah seorang ayah yang sangat penyayang dan pandai menunjukkan kasih sayang Baginda terhadap anak-anak. Kasih sayang Baginda umpama air yang mengalir, memberikan ketenangan dan kegembiraan kepada ahli keluarga Baginda. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (ra) “Aku tidak pernah seorang yang sangat mengambil berat dan mengasihi ahli keluarganya melebihi Nabi Muhammad (SAW)” (riwayat Muslim).

Rasulullah sangat mengasihi putera-dan puteri Baginda. Diriwayatkan bahawa setiap kali puteri Baginda, Fatimah masuk ke dalam kamar Baginda, Baginda akan bangun dan memimpin tangan Fatimah dan didudukkan bersebelahan Baginda. Begitulah kasih sayang dan penghormatan yang Baginda tunjukkan kepada putera dan puteri Baginda.

Putera baginda Ibrahim (ra) meninggal dunia ketika usia beliau masih kecil. Ketika Ibrahim sakit tenat, Rasulullah sentiasa menziarahinya walaupun baginda sentiasa sibuk dengan urusan dakwahnya. Setiap kali Baginda menziarahi Ibrahim, Baginda akan mencium Ibrahim dan bermain dengannya untuk menggembirakan hati Ibrahim. Baginda seolah-olah cuba menghilangkan derita yang ditanggung oleh anakandanya walaupun buat seketika.

Apabila Ibrahim (ra) menghembuskan nafas yang terakhir, Baginda begitu sedih sehingga melinangkan air mata. Sahabat Baginda, Abdul Rahman al Awf (ra) bertanya kepada Baginda,” Apakah Engkau menangis ya Rasulullah? ” Lalu Baginda menjawab, “Wahai Abdul Rahman, airmata ini adalah satu Rahmat’ (Riwayat al Bukhari). Begitulah mendalamnya kasih sayang Baginda kepada puteranya, biarpun Baginda sangat sibuk Baginda tetap berusaha untuk menggembirakan puteranya dan begitu bersedih dengan kematian putera Baginda

Baginda juga sangat mengasihi cucunya Umamah (ra). Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Muslim, Baginda selalu membawa Umamah bersiar-siar dan meletakkan Umamah di atas bahunya. Apabila baginda sujud ketika solat, Baginda akan meletakkan Umamah sebentar dan kemudian mendukungnya semula selepas selesai menyempurnakan solat. Begitulah akhlak yang ditunjukkan oleh Baginda SAW di saat sebahagian masyarakat Arab masih ramai yang mengamalkan budaya jahiliyyah iaitu memandang hina kepada anak dan cucu perempuan mereka. Sifat Rasulullah itu juga berbeza dengan kebanyakan kita yang cepat memarahi anak-anak kecil apabila mereka mendekati kita ketika waktu hendak bersolat. Sebaliknya mengarahkan anak-anak tersebut untuk pergi menonton kartun!!! Maka faham anak itu, bersama dengan orang tua ketika solat adalah SALAH dan menonton kartun pada waktu tersebut adalah BETUL?!

Biarpun Baginda begitu menyayangi anak-anak dan cucu-cucu Baginda, namun kasih sayangnya tidak bermakna Baginda tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh anak dan cucu Baginda. Kita tentu pernah menonton cerita “Anakku Sazali”, kerana terlalu menyayangi anaknya, kesilapan Sazali tak pernah ditegur sehingga besar menjadi penyamun. Kaedah ini berbeza dengan pendekatan Rasulullah SAW. Sebagai contoh, cucu Baginda yang sangat Baginda kasihi, Hasan dan Husin mengambil tamar disedekahkan kepada fakir Miskin. Baginda menghalang cucunya dengan bersabda “ Sesuatu yang disedekahkan adalah haram bagi kita (ahli keluarga Rasulullah) ” (Riwayat Muslim dan Ahmad). Rasulullah tidak mengherdik dan memaki hamun anak cucunya apabila mereka melakukan kesalahan, sebaliknya Baginda sentiasa member nasihat dan memberitahu apa yang sepatutnya mereka lakukan. Bahkan inilah kaedah yang berkesan dalam membentuk peribadi anak-anak yang soleh dan cemerlang.

Walaupun artikel ini memaparkan sifat ‘kebapaan’ Rasulullah, tetapi kaum ibu juga dapat mengambil pengajaran yang besar daripada secebis daripada jalur kehidupan yang indah ini.

**To all non Muslim colleague: We hope you enjoy reading the above for knowledge and understanding**

You Might Also Like

0 comments

sudi-sudikan... :)

Like us on Facebook